Sanggar Persahabatan

JOM SHOPPING DI KEDAI SAYA!!

Kongsi Cerita

get this widget here

Tuesday, March 22, 2011

BIOGRAFI TOKOH GURU NEGERI JOHOR TAHUN 2000

Ha... akhirnya siap projek biografi saya. Ikhlas dari hati memang banyak kekurangan. Tulisan biografi pertama saya.... Yang saya paparkan dalam blog ni tak lah sama 100% sebagaimana yang saya hantar.
Ada buat beberapa perubahan terutama bahagian susun atur gambar dan lampiran yang saya tidak sertakan di sini. Komen daripada penulis biografi lain amat saya alu-alukan...


BIOGRAFI TOKOH GURU DAERAH KLUANG
TUAN HAJI SURATMAN BIN JAIS
OLEH : AIDAH BINTI MISDAN

 Tn.Hj. Suratman ketika muda

 “Cikgu Suratman Jais mengajar saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Guru dahulu. Seluar dan baju lengan panjangnya berwarna putih. Keras berkanji. Dia memandu kereta putih Fiat 600. Pintunya buka dari hadapan. Hebat pada pandangan saya yang berumur 14 tahun pada tahun 1961. Tingkah lakunya sederhana. Dia tidak pernah marah. Marahnya memuncak apabila telinganya memerah dan dia mendiamkan diri menahan emosi. Rakan sekelas akan faham keadaan itu dan masing-masing berusaha mengembalikan keadaan supaya tenang.”


Menjejaki Tuan Haji Suratman bin Jais yang merupakan tokoh guru negeri Johor tahun 2000 tidaklah sesukar mana. Walaupun Tuan Haji Suratman ini kenalan baik ayah saya namun saya tidak mengambil ringan urusan wawancara ini.  Saya turut mendapatkan seberapa banyak maklumat daripada kemudahan teknologi maklumat yang ada kini.  Setelah serba sedikit maklumat diperoleh, barulah saya mengatur temu janji dengan beliau. Alhamdulillah, temu janji yang saya aturkan diterima dengan penuh mesra dan hati terbuka. Ketibaan saya pada petang itu disambut mesra oleh isteri beliau Puan Jamilah binti Jamsari. Sejenak menunggu di ruang tamu, Tuan Haji Suratman muncul sambil dipapah oleh isteri dan anaknya. Pada usia 74 tahun kini keadaan beliau agak uzur sementelah beliau dikatakan menghidap penyakit parkinson sejak dua tahun lalu. Walaupun agak uzur, namun senyuman yang tidak lekang dari bibirnya membibitkan rasa selesa dan mesra untuk saya meneruskan wawancara ini. 

Tuan Haji Suratman bin Jais dilahirkan pada 28 November 1937 di Parit Sulong, Batu Pahat Johor. Ketika ditanya tentang cita-cita tokoh ini sejak kecil, menjadi pendidik merupakan satu-satunya cita-cita yang menjadi impian beliau. Dengan menjadikan Jamil Sulong sebagai idola menyebabkan pelbagai pertanyaan bermain di benak. Siapa yang tidak kenal Jamil Sulong? Pengarah filem Melayu yang terkenal yang menjadi sebutan sehingga kini.   Kenapa Jamil Sulong menjadi idola beliau? Menurut beliau, pengarah filem terkenal tersebut merupakan salah seorang gurunya yang mengajar bahasa Jepun ketika beliau kecil. Mungkin ramai yang tidak tahu, pengarah Jamil Sulong pernah menjadi guru dan penulis ketika zaman mudanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini, dua lelaki dan seorang perempuan menjalani kehidupan sederhana sejak kecil. Ayahanda beliau Jais bin Wongso bekerja sebagai pekebun dan penjaja makanan. Manakala bonda beliau Sumirah binti Haji Mansor meninggal dunia semasa beliau masih kecil lagi. Semenjak kematian ibu beliau, ayahnya membawa diri ke Singapura dan membina kehidupan baru di sana. Beliau dan adik-adiknya dipelihara dan dibesarkan pula oleh makcik dan neneknya. 

Kehidupan beliau sama seperti kanak-kanak lain yang sezaman dengan beliau. Antara teman rapatnya ketika itu ialah ayah saya sendiri Haji Misdan bin Jamil yang usianya muda setahun daripada beliau. Beliau juga belajar mengaji setiap hari pada sebelah petang bersama pakciknya yang agak tegas orangnya ketika mengajar.

Lahir pada zaman sebelum merdeka memberi peluang kepada beliau menyaksikan sendiri kemaraan tentera-tentera Jepun dan serangan kapal terbang Kamikaze di sekitar Pekan Parit Sulong yang menjadi medan pertempuran tentera Jepun dengan tentera pihak bersekutu. Malah beliau turut merasai keperitan hidup pada ketika itu apabila beliau dan penduduk setempat terpaksa mencari tempat persembunyian di kawasan pedalaman bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

PENDIDIKAN DAN PERKHIDMATAN

Menyentuh tentang zaman persekolahannya pula, beliau sempat bersekolah di Sekolah Rendah Jepun semasa zaman Jepun memerintah. Kemudian pada 15 Oktober 1945 beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Melayu Parit Sulong sehingga tamat darjah enam di sekolah tersebut pada tahun 1952. Tidak dapat dinafikan bakat kepemimpinannya sudah terserlah sejak kecil lagi iaitu apabila beliau sering terlibat dengan pertandingan syarahan dan sering menjadi pemimpin pelajar. Menurutnya pada ketika itu guru yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya pada ialah Cikgu Abas.

Sebaik tamat darjah enam beliau mula bertugas sebagai  Guru Rakyat di Sekolah Umum Seri Permatang Rengas, Seri Medan, Batu Pahat selama dua tahun (1952-1953). Menurut beliau, beliau merupakan antara individu yang mula-mula meneroka sekolah tersebut bersama dengan Cikgu Wahab bin Abu. Sekolah tersebut menjalankan Kelas Mengenal Huruf (Kelas Dewasa). Masih segar dalam ingatannya gaji yang diperolehnya pada ketika itu hanya sebanyak RM41.00 sahaja sebulan. Seterusnya, pada Mei 1954 beliau terpilih untuk mengikuti latihan perguruan sekolah rendah di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim Perak selama dua tahun.

Setelah tamat latihan perguruan di Tanjung Malim pada tahun 1956, beliau ditugaskan ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Bandar Kluang dan berkhidmat di sekolah tersebut selama setahun. Pada Januari 1957 pula beliau dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Seri Lalang Kluang. Beliau merupakan guru lulusan maktab yang pertama dihantar ke sekolah tersebut untuk mengajar darjah enam. Pada ketika itu hanya terdapat 11 orang murid lelaki dan seorang murid perempuan. Malah sebahagian besar murid lelakinya sudah bermisai dan berjanggut.

Pada tahun 1958, beliau menghadiri kursus selama setahun di Maktab Perguruan Bahasa, Bukit Senyum, Johor Bahru. Menurut beliau pada ketika itu hanya empat orang sahaja dari seluruh Johor yang terpilih memasuki maktab tersebut. Setelah tamat kursus di Maktab Perguruan Bahasa beliau diarahkan bertugas di Oversea Chinese High School, Batu Pahat dan berkhidmat di sekolah itu selama tiga tahun iaitu dari tahun 1959 hingga 1961. Pada tahun 1962 beliau berkhidmat pula di Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar, Batu Pahat sehingga tahun 1969. Semasa berkhidmat di sekolah inilah beliau telah mengambil kesempatan untuk mempertingkat taraf pendidikan beliau dengan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian pada tahun 1962 dan seterusnya mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga sebagai calon persendirian pada tahun 1968. Usaha dan kegigihannya itu ternyata berbaloi apabila beliau berjaya melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya pada 13 Mei 1969 hingga 1972 dalam bidang Pengajian Melayu. Sebaik menerima ijazah pada tahun 1972, beliau ditugaskan pula di Sekolah Menengah Datuk Haji Hassan Yunos, Renggam sehingga tahun 1982.

Setelah 30 tahun berkhidmat sebagai pendidik, Tuan Haji Suratman telah ditukarkan pula ke Pejabat Pendidikan Daerah Kluang (PPDK). Di PPDK beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Menengah) sehinggalah beliau bersara pada tahun 1992.

SUMBANGAN DALAM PENDIDIKAN

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai pendidik beliau turut berperanan sebagai Pemeriksa Kertas Bahasa Kebangsaan (Bahasa Malaysia) Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sejak tahun 1964 sehinggalah beliau dilantik menjadi Ketua Pasukan pada tahun 1974 hingga 1992. Selain itu, beliau juga turut dilantik sebagai Ketua Pemeriksa Kawasan Ujian Lisan Bahasa Malaysia Peperiksaan Pelajaran Malaysia SPM/SPVM pada tahun 1984 hingga 1986. Pada tahun 1984 hingga 1986 juga beliau dilantik sebagai Ketua Pasukan Pemeriksa Kertas Kesusasteraan Melayu Sijil Pelajaran Malaysia dan pada tahun 1986 hingga 1991 sebagai Penolong Ketua Pemeriksa Bersama Kesusasteraan Melayu SPM.

Selain itu, antara tugas-tugas besar lain yang pernah disandangnya sepanjang perkhidmatan beliau ialah Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kluang, Naib Pengerusi Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Daerah Kluang, Naib Pengerusi Hari Guru Daerah Kluang, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kurikulum Daerah Kluang, Pengerusi Jawatankuasa Teknik Permainan MSSD Kluang, Pensyarah Sambilan di Pusat Latihan Daerah (RTC) Batu Pahat (1966-1967), Kakitangan Penting Perpustakaan Negeri Johor (1977-1978), Kakitangan Penting Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Atas Negeri Johor (1980-1981) dan Pensyarah Undangan Intan Kluang (1983 – 1985).

Antara sumbangan beliau yang lain adalah pada tahun 1957 beliau bersama-sama rakan guru telah secara sukarela mengadakan Pameran Buku-Buku Bahasa Melayu terbitan sebelum Perang Dunia hingga 1957 di Kelab Guru-Guru Melayu Batu Pahat. Pada tahun tersebut juga beliau telah memperkenalkan persembahan deklamasi sajak di daerah Batu Pahat. Seterusnya, pada tahun 1964 atas bakat seni yang dimiliki beliau turut terlibat secara aktif dalam mereka bentuk bangunan Perpustakaan di Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar, Batu Pahat.

PENGLIBATAN DALAM AKTIVITI KEMASYARAKATAN

Kesibukan beliau sebagai guru dan PPD tidak menghalang beliau daripada terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Antara aktiviti kemasyarakatan yang disertai oleh beliau ialah :

§         Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Bunga Raya, Kluang.
§         Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Bahagian Kluang
§         Tahun 60-an Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Latihan Maktab, Malaysia.
§         Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Johor.
§         Setiausaha Rukun Tetangga Sektor Bandar Kluang
§         Pengerusi Tabika Perpaduan Bandar Kluang.
§         Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Kluang.
§         Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Islam, Taman Kluang.
§         Ahli Jawatankuasa Surau An Nur, Taman Kluang.

KARYA DAN KEGIATAN BAHASA

Tuan Haji Suratman merupakan antara golongan guru yang aktif menghasilkan penulisan . Menurut ayah saya, beliau mempunyai nama samaran tersendiri dalam bidang penulisan iaitu  “Rosman Jaya”.

Sajak awal beliau yang berjudul ‘BELIA’ telah diterbitkan di Majalah Belia pada 13 Mei 1955. Cerpen sulung beliau juga yang berjudul ‘Cikgu Sekolah Umum’ turut tersiar di Utusan Zaman pada tahun 1957.

Pada tahun 1962 -1963 beliau telah dilantik menjadi Penolong Setiausaha Bulan Bahasa Kebangsaan Daerah Batu Pahat dan pada tahun 1964 beliau telah menulis beberapa kertas kerja untuk Diskusi Sastera di Batu Pahat.

Selain itu, beliau juga aktif menulis buku teks dan buku kerja untuk panduan guru-guru dan pelajar antara karya-karya beliau yang diterbitkan pada ketika itu ialah :

§         Bahasa Malaysia Situasi (Peralihan)                                 Longman 1977
§         Bahasa Malaysia Situasi Tingkatan Empat                       Longman 1978
§         Bahasa Malaysia Situasi Tingkatan Lima                         Longman 1978
§         Buku Kerja Bahasa Malaysia Tingkatan Empat                Longman 1979
§         Buku Kerja Bahasa Malaysia Tingkatan Lima                   Longman 1979
§         Buku Kerja Bahasa Malaysia (Peralihan)                          Longman 1981
§         Bimbingan Bahasa Malaysia (II) SPM                                Fajar Bakti 1984

ANUGERAH DAN PINGAT KEBESARAN

Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam pelbagai bidang, beliau telah mendapat pelbagai anugerah seperti :

  • 1987   Pingat Ibrahim Sultan (II)
  • 1987   Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia
  • 1991   Pingat Lama dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP)
  • 1991   Pingat Ahli Mangku Negara (AMN)
  • 1999   Ibu Bapa Contoh Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood (I) Kluang
 
AKTIVITI SELEPAS BERSARA



Sebaik bersara pada 28 November 1992, Tuan Haji Suratman dan isterinya terus menunaikan ibadah haji di Mekah. Selain itu, beliau juga banyak menghabiskan masa dengan melakukan kerja-kerja sosial bersama masyarakat. Antara aktiviti yang dilakukan oleh beliau ialah menjadi Ahli Lembaga Pelawat Penjara Simpang Renggam pada tahun 1995 hingga 1997 dan menjadi Naib Pengerusi Surau An-Nur, Taman Kluang, Kluang. Malah beliau turut ringan tulang membantu menguruskan perniagaan isteri tercinta. Anak-anak beliau yang seramai empat orang iaitu dua lelaki dan dua perempuan sudahpun mempunyai kerjaya dan berjaya dalam kehidupan masing-masing. Anaknya yang sulung Suhaimi Suratman (45 tahun), Tuti Aini Suratman (43 tahun), Irman Hilmi Suratman (36 tahun) dan Suhailawati Suratman (35 tahun)




Monday, March 14, 2011

MENELUSURI TAPAK-TAPAK SEJARAH DI SUNGAI JOHOR

Membuka tirai cuti persekolahan dengan kursus sememangnya menjengkelkan bagi sesetengah orang. Tetapi tidak bagi saya. Apatah lagi kursus yang diadakan sangat-sangat mengujakan dan menarik. Pelawaan Yayasan Warisan Negeri Johor untuk saya mengikuti kursus anjuran mereka selama 3 hari 2 malam sudah pasti tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Rasanya mungkin inilah peluang sekali seumur hidup menelusuri Sungai Johor. Lepas ni tak tahulah bila lagi dapat peluang macam ni.

Hari pertama (Jumaat 11.3.2011)

Pada sebelah pagi saya ke sekolah seperti biasa dan pulang seperti biasa pada jam 12.30 tengah hari. Agak risau juga sebab saya belum mengemaskan pakaian dan keperluan untuk mengikuti kursus. Selepas sekolah saya bergegas pulang ke rumah dan meyediakan semua keperluan. Lebih kurang 2.15 saya mula bertolak ke Felda Ulu Belitong untuk menemui rakan yang mengikuti kursus yang sama. Sebelum tu saya sempat mengisi minyak di Kluang. Selepas mengisi minyak baru saya teringat yang tudung saya (yang telah digosok dan berhanger) tertinggal di rumah. (Sebenarnya banyak lagi barang yang tertinggal.... huhuhu... tu la.. kemas last minute.... Tudung yang saya pakai tu saje la yang saya ade... nak patah balik orang kata tak elok. Jadi saya teruskan perjalanan....

Sampai di rumah kawan di Felda Ulu Belitong, saya pun memakir kereta di rumahnya dan menaiki kereta teman saya itu untuk ke Hotel Myres Kota Tinggi. Bila saya beritahu kawan saya ni yang tudung saya tertinggal terus dia kata jangan risau.. Kota Tinggi memang kota membeli belah pakaian especially tudung... Bila dengar kata-kata member tu apalagi memasang angan2 la nak menyopping....

Selepas check-in di Hotel Myres kami pun solat Asar terlebih dahulu dan kemudian keluar semula untuk membeli belah melihat-lihat suasana bandar Kota Tinggi. Petang tu saja saya bukan setakat membeli tudung.... baju pun saya beli... 2 pasang tudung dan 2 pasang baju kurung... hihihi.. best! best!

Teringat nak balik semula ke hotel bila perut dah mula berkeroncong... sampai di hotel... makan malam. Lepas Maghrib terus turun semula ke tingkat 8 untuk menghadiri aktiviti pertama kursus. Dalam perjumpaan pertama ni barulah saya tau... rupa-rupanya ramai yang tidak hadir. Mungkin sebab permulaan cuti. Dalam perjumpaan pertama ni kami diminta memberi laporan perkembangan penulisan artikel tokoh guru yang sedang kami laksanakan. Rupanya selain saya ramai lagi tak siapkan lagi tugasan yang diberi tu. Tapi ada sorang cikgu tu dari Kota Tinggi rasanya siap jadi folio tu... Tebal betul biografi dia. Lepas mendengar taklimat tentang program hari esok kami pun bergambar. Tengok... PPD Kluang dua orang tu turun padang.....




Hari kedua (12.3.2011)


Esoknya kami check-out dari hotel pada jam 8.00 pagi dan meletakkan kenderaan masing2 di Muzium Kota Tinggi. Dari sini kami berkumpul untuk menaiki bas ke Kota Gemerlapan. Dah lama tak naik bas. Sekali sekala seronok jugak. Rasa macam ikut rombongan cik Kiah sekolah aje.


Sampai di Anjung Kota Gemerlapan kami diberi taklimat ringkas. Selepas membaca doa kami diberikan jaket keselamatan setiap orang.. (Ye la.. takkan nak share pulak kan...) Kalau nak tau Anjung Kota Gemerlapan ni diusahakan oleh pengusaha Melayu.


Bergambar bersama pemilik jeti Anjung Kota Gemerlapan.
Lain kali Insyaallah nak ke sini lagi. Boleh tengok kelip-kelip (kunang2) pada waktu malam.

Pasukan bomba yang mengiringi bot kami.


Tempat pertama yang kami tujui ialah Makam Laksamana Bentan atau dikenali juga sebagai Megat Seri Rama. Berasal dari Bentan, Sumatera dan bertugas sebagai Panglima Angkatan Laut Sultan Mahmud Shah II. Kenal tak Laksamana Bentan? Ala.. ni yang isterinya Dang Anum mati dibelah perut oleh Sultan Mahmud Shah II akibat seulas nangka. Tapi di sini kami tidak berhenti.. setakat tengok dari bot sahaja. Selepas tu kami menuju ke Kampung Makam. Sesuai dengan nama kampung ini, di merata-rata tempat di sekitar kampung ini di kelilingi dengan makam dan kubur. Banyak sangat! Dari Jeti Kampung Makam kami berjalan kaki menuju ke Kota Touhid.  Kota Touhid pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor sebanyak dua kali iaitu semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677) dan Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV (1699-1718). Dari Kota Touhid kami ke Makam Bendahara Tun Habab (Habib) dan akhir sekali ke Makam Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Bangunan yang berwarna kuning itulah makam Laksamana Bentan bersama isteri dan anaknya yang mati dibunuh.

Melihat panorama bandar Kota Tinggi dari Sungai Johor


Di Kota Touhid

Rasa tenang aje berada kat tempat ni... Makam Tun Habab

Nama sebenar baginda adalah Bendahara Tun Abdul Majid Tun Habab Padang Saujana Johor atau dikenali sebagai Tun Habab Abdul Majid. Tun Habab menjadi Bendahara kepada dua orang Sultan iaitu semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Shah I dan Sultan Mahmud Shah II.  Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II yang dibunuh oleh Laksamana Bentan, Tun Habab telah ditabalkan sebagai Sultan Johor ke II kerana Sultan Mahmud Shah II tidak berputera. Tun Habab menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah Ke-IV.

Kawasan ni dikatakan lokasi pembunuhan Sultan Mahmud

Makam Sultan Mahmud

Dalam kawasan makam Sultan Mahmud.

Kubur kucing bertanduk
Sultan Mahmud Shah II, ada memelihara seekor kucing yang dikatakan mempunyai sepasang tanduk kecil pada bahagian atas kepala. Ada sumber yang mengatakan kucing ini dinamakan baginda 'Si Comel'. Kucing ini tidak pernah turun ke tanah dan hanya berjalan meniti dari bumbung ke bumbung rumah serta gemar memakan sayur-sayuran. Kucing ini berkebolehan mengesan musuh-musuh yang bakal datang menyerang Kota Tinggi. (Macamana ek?) Kucing istimewa ini telah mati secara tiba-tiba seminggu sebelum baginda mangkat. Sultan Mahmud menitahkan agar kucing ini dikebumikan dan pada kuburnya diletakkan dua biji batu berbentuk bulat sebagai batu tanda.
Salah satu contoh rumah limas negeri Johor yang terdapat di Kampung Makam

Dari Kampung Makam kami meneruskan lagi perjalanan bot kami menuju ke Kota Seluyut. Sebaik tiba di Jeti Kota Seluyut kami terpaksa mendaki bukit yang agak tinggi sebelum sampai ke Makam Sultan Muzaffar Syah II, adindanya Raja Fatimah dan Sultan Abdul Jalil Shah I. Keistimewaan Kota Seluyut ni juga ialah tempat lahirnya Tun Sri Lanang.


Perjalanan dengan bot diteruskan lagi. Selepas ini kami berhenti di Kota Batu Sawar pulak. Kota Batu Sawar ni didirikan oleh Sultan Ali Jalla Abd. Jalil. Selepas serangan daripada angkatan perang Jambi pada tahun 1670 (semasa pemerintahan Abd. Jalil Shah III) baginda melarikan diri ke Pahang dan tempat ini tidak lagi dijadikan pusat pemerintahan. Ada rakan yang mengatakan kedudukan makam ini di taman istana. Kerana menurutnya pokok-pokok yang terdapat di tempat tersebut semuanya pokok-pokok terpilih. Bila saya lihat sendiri kawasan tersebut, walaupun agak semak samun namun memang terdapat banyak pokok-pokok hiasan yang menarik. Kawasan ini agak tidak terjaga kerana dikatakan kedudukan makam ini di tanah orang. Mungkin suatu hari nanti kerajaan Johor akan mewartakan kembali tanah tersebut. Tak tergamak melihat makam Sultan di kelilingi semak samun dan tidak terurus.





 Sama dengan nama bot yang saya naiki... BAHTERA BATU SAWAR

Dari Kota Batu Sawar kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Kota Panchor. Kota ini merupakan pusat pemerintahan terakhir kerajaan Johor yang terletak di persisir sungai Johor. Sultan yang bertanggungjawab membina kota ini ialah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.

Makam Sultan Abd. Jalil IV

Batu nisan ni pendek sebelah sebab yang lagi satu tu patah setelah digesel oleh gajah yang kegatalan.
Apalah gajah tu kan.. tak de tempat lain agaknya nak keruk badan dia...

Makam Dara Puteh

Di papan tanda Makam Dara Puteh
Dalam gambar ni En. Hamzah (PPD Kluang), Tumiah Zakaria (GC Sejarah Daerah Kluang) 
dan En. Sufian (PPD Daerah Kluang). Rasanya yang asyik bergambar delegasi Kluang je ni...

Selepas Kota Panchor kami dibawa pula ke Kota Johor Lama. Sebelum sampai di Kota Johor Lama bot kami melencong ke arah jambatan baru yang menghubungkan Pasir Gudang dengan..... Teluk Sengat (kot...) tak ingatla...
Bot yang satu lagi terus menuju ke Kota Johor Lama. Kami dibawa melalui bawah jambatan baru tersebut. Best sangat! Dalam perjalanan ke sini juga ombak agak kuat menyebabkan kami yang berada di dalam bot kebasahan. Ibarat "direnjis-renjis dipilis gitu... " hehehe... Tengoklah keadaan langit yang mendung. Walaupun sinar matahari tidak terik sepanjang perjalanan hari ini, namun kesan sun-burn tetap ketara di muka saya...



Setelah lima jam menelusuri Sungai Johor akhirnya kami tiba di Bob Homestay yang terletak di Kota Johor Lama. Lihatlah panorama homestay yang kelihatan sayup-sayup dari arah laut. Sungguh mendamaikan... Sampai je  di homestay kami terus makan tengah hari. Lapar sangat rasanya... Kumpulan yang satu lagi dah berehat-rehat di bilik masing. Disebabkan kami lambat kumpulan kami ditempatkan di dorm tingkat atas. Bilik airnya di bawah. Sampai kat bilik terus mandi dan solat jamak. Ada masa 1 jam sahaja sebelum kami diarahkan berkumpul semula. Belum sempat berehat siren dah dibunyikan.


Tak sempat baring pun lagi. Dah kena bergerak ke Muzium Johor Lama. Nasib baik disediakan van. Kalau tak... tak larat dah rasanya nak berjalan... Dari jauh kelihatan Muzium Johor Lama yang menggunakan senibina tradisional dan sangat cantik.  Petugas-petugas muzium juga sangat ramah. Di sini kami disajikan dengan tayangan sejarah melalui video. Semasa tayangan ni saya mengambil tempat yang paling strategik untuk menyandarkan badan. Hehehe... sambil menonton banyak kali jugak terlelap. Apa taknya, badan dah selesa lepas mandi... kenyang pulak tu... Tengah seronok tengok part pertumpahan darah antara Sultan Mahmud dengan Laksamana Bentan tiba-tiba TV meletup...  eii... potong stim betul la... Kata pekerja muzium tu agaknya sebab dah pukul lima kot TV ni nak rehat... hehehhe... ye lah tu.. TV pun pandai kan nak rehat...

Kemudian kami dibawa melawat ke Kota Batu Johor Lama. Kota ini dibina oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II pada tahun 1540. Kedudukannya terletak di atas Tanjung Batu, Kampung Johor Lama menjadikannya sangat strategik sebagai benteng pertahanan. Kota ini pernah jadi pusat perdagangan antarabangsa.

Muzium Kota Johor Lama



Tapak carigali di atas merupakan destinasi terakhir kami pada hari ini. Terletak bersebelahan rumah orang. Pada mulanya ada orang mengatakan kawasan ini terdapat harta karun tetapi rupa-rupanya setelah digali terdapat artifak seperti batu nesan di dalamnya. Tidak diketahui kenapa batu nisan ini ditimbus namun dari kajian lapisan tanah (nampak tak belang yang warna hitam kat tanah tu?) dikatakan mungkin sebelum ditimbus kawasan ini dibakar terlebih dahulu. Puncanya... wallahua'lam...

Selesai acara siang, kami dipenatkan lagi dengan aktiviti pada sebelah malam. Pada sebelah malamnya ni kami didendangkan dengan seminar Pemupukan Patriotism melalui Sejarah Kerajaan Johor Lama oleh Hj. Kamdi (Idola saya kat Yayasan ni...). Yang bestnya dalam seminar ni saya dapat dua hadiah. Agaknya penganjur pun tau yang masing2 tak ada mood sebab kepenatan jadi dia sediakanlah hadiah. Hadiah mula-mula saya dapat sebuah buku yang bertajuk 'Kata-Kata Hikmat Dato' Onn Jaafar'  sebab dapat jawab soalan tentang nama perjanjian yang ditandatangani yang menyebabkan perpecahan wilayah Johor. Lepas tu saya dapat lagi satu hadiah sebuah buku "sejarah 50 Tahun Kemerdekaan' yang ni buku mahal. Ada dua naskah aje dia sediakan. Syaratnya kena cipta syair dan bersyair. Disebabkan saya nak sangat buku tu jadi saya pun bersyairlah.... Bolehlah... tak la teruk sangat.... hihihi.... habis tajuk pertama, masuk pula tajuk seminar kedua iaitu Mengenali Arkeologi Sungai Johor. Masa ni ngantuk memang ngantuk tapi tajuknya dan cara penyampaian penceramah amat menarik. Tak sampai hati nak mengantuk....

Pada malam ni juga saya berpindah tempat tidur ke Felda Air Tawar 5 atas pelawaan seorang teman iaitu kak Norhuda. Terharu sangat atas layanan beliau dan keluarganya. Homestay tempat kami menginap tu kurang kondusif sebenarnya... tandasnya ... (malas la nak cerita..) paham2 je la... 

Hari Ketiga.(13.3.2011)

Muka dah ketat dah. Sunburn pulak tu... tak sabar nak balik... penat... Lepas acara penutupan kami menaiki bas untuk ke Muzium Kota Tinggi tempat kereta2 kami diletakkan. Sebelum balik sempatlah menjengah masuk ke Muzium... Tapi masuk sekejap je... Lepas solat jamak di masjid bersebelahan muzium saya dan rakan saya Tumiah berpoya-poya di bazar Kota Tinggi. Tumiah beli tudung. Tapi saya kali ni beli baju kurung untuk dihadiahkan pada mak. Lepas beli sedikit buah tangan kami pun bergerak balik semula ke Kluang....



Opppssss lupa nak bagi tau... setelah kami disajikan dengan aktiviti yang sangat menarik ni... seperti biasalah (ada udang di sebalik batu kan...) hehehe... tak adelah... kami diminta untuk menghasilkan penulisan sejarah daerah masing2 secara berkumpulan. Wawawawawaa..... tak dapat nak elak dah..... PPD dua orang pulak tu sebagai saksi.. Takpe... kerana terhutang budi dengan Yayasan, kami sanggup pikul tanggungjawab ini seikhlas hati kami. Insyaallah.....


Friday, March 11, 2011

Di Kejauhan Ini.....

 Buat yang tersayang....

Semoga cepat sembuh



Animated Gif Comments | http://www.gifluv.com/
Ya Allah... sembuhkanlah sakitnya...
Tenangkanlah hatinya....
Permudahkanlah urusannya...
Tabahkanlah hati kami menempuhi dugaan ini...
Amin....
 


Wednesday, March 9, 2011

Sepetang Bersama Tokoh Guru

Alhamdulillah... Sabtu yang lalu 5hb Mac 2011 saya telah berpeluang mewawancara Tn. Hj. Suratman bin Jais Tokoh Guru Negeri Johor bagi tahun 2000. Berdebar-debar juga pada masa pertama kali ingin membuat temu janji. Bimbang tidak dilayan dan sebagainya. Tetapi jangkaan itu jauh meleset kerana kedatangan saya disambut dengan baik dan penuh mesra daripada beliau dan ahli keluarganya. 

Sebelum bertolak ke rumah beliau saya menyediakan keperluan-keperluan penting semasa wawancara seperti soalan-soalan yang akan ditanya, alat perakam MP3*, mesin pencetak 3 dalam satu, malah penyambung wayar pun saya angkut sekali dan tidak lupa cenderamata buat orang yang akan diwawancara. *MP3 tu sebenarnya baru saje dibeli khas untuk wawancara ni. Mula-mula tu saya tanya kawan-kawan yang ada tape recorder. Pertanyaan saya tu digelakkan oleh meja hujung yang mengatakan zaman ni orang dah tak pakai tape recorder.... Kemudian dia tunjukkan MP3. Katanya sekarang orang dah pakai benda ni... 

oooooo..... ye keeee....... (Nak pinjam tak reti nak guna, takut jahanam pulak harta orang) Jadi petang tu saya pun ke kedailah nak beli satu. Tanya budak yang kerja di kedai tu... dik ada tak MP3 yang bole record? Budak tu jawab... kak... semua MP3 bole record.... :p  (ish... malu lagi...) Malam tu godeh-godeh la sendiri belajar cara nak gunakannya... hei... ketinggalan zaman betullah....

Kesempatan bertemu dengan Tn. Hj. Suratman memang sangat besar ertinya buat diri saya. Beliau menjadi pencetus semangat kepada saya untuk menjadi guru yang terbaik bukan sahaja kepada organisasi malah kepada masyarakat dan negara. Beliau sudah sangat uzur sekarang ini. Berjalan pun terpaksa dipapah. Butir-butir percakapannya kadang-kala hampir tidak difahami. Beliau menghidap penyakit Parkinson. Namun apa yang saya kagumi ialah kekuatan memorinya. Semua pertanyaan saya dijawab dengan cemerlang walaupun kisahnya sejak dari zaman kanak-kanak. Subhanallah... Semoga saya juga dikurniakan ingatan yang kuat seperti beliau. Rasa terharu sangat kerana walaupun tidak sihat beliau sanggup melayan pertanyaan saya sehingga ke akhirnya..... Sebenarnya saya tak jadi tanya banyak soalan petang tu sebab beliau sudahpun menyediakan biodata beliau dengan lengkap sejak sebelum beliau sakit lagi. Kagum betul saya.... memang sesuailah dipilih jadi tokoh guru...

Selepas selesai sesi wawancara, saya pun meminta izin untuk mengimbas gambar-gambar peribadi beliau untuk dimuatkan dalam penulisan saya nanti. Memang sesuailah bawa printer 3 dalam 1 ni. Saya fotostat dokumen-dokumen penting tentang diri beliau, scan gambar-gambar beliau dan keluarganya dan sebagainya. Terima kasih banyak-banyak kepada Tn. Hj. Suratman dan keluarga juga kepada ayahanda saya yang sudi meluangkan masa menemani saya (sebenarnya en. Suratman ni kawan baik ayah saya sejak kecil) Budi kalian tetap dalam ingatan..

Lepas ni, apalagi... tulislah apa yang patut....eiii... semangat dah ada, tapi nazir pulak berkampung di sekolah tiga hari ni. Weh... banyak kerja betul bila nazir datang...... jadi dokumennya masih tersimpan dalam beg... bilalah nak mula menulis ni.... huhuhu..... nanti kalau saya rasa biografi yang saya buat tu best saya akan paparkan dalam blog ni. Tapi kalau rasanya macam tak menjadik je.... saya tak paparkan lah ye...

Jomlah layan gambar....

 Tn Hj. Suratman bersama isterinya Pn. Hjh. Jamilah

Bersama ayahanda saya

 Di hadapan rumah Tokoh Guru

Tn. Hj. Suratman semasa menerima pingat AMN