Sanggar Persahabatan

JOM SHOPPING DI KEDAI SAYA!!

Kongsi Cerita

get this widget here

Monday, March 14, 2011

MENELUSURI TAPAK-TAPAK SEJARAH DI SUNGAI JOHOR

Membuka tirai cuti persekolahan dengan kursus sememangnya menjengkelkan bagi sesetengah orang. Tetapi tidak bagi saya. Apatah lagi kursus yang diadakan sangat-sangat mengujakan dan menarik. Pelawaan Yayasan Warisan Negeri Johor untuk saya mengikuti kursus anjuran mereka selama 3 hari 2 malam sudah pasti tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Rasanya mungkin inilah peluang sekali seumur hidup menelusuri Sungai Johor. Lepas ni tak tahulah bila lagi dapat peluang macam ni.

Hari pertama (Jumaat 11.3.2011)

Pada sebelah pagi saya ke sekolah seperti biasa dan pulang seperti biasa pada jam 12.30 tengah hari. Agak risau juga sebab saya belum mengemaskan pakaian dan keperluan untuk mengikuti kursus. Selepas sekolah saya bergegas pulang ke rumah dan meyediakan semua keperluan. Lebih kurang 2.15 saya mula bertolak ke Felda Ulu Belitong untuk menemui rakan yang mengikuti kursus yang sama. Sebelum tu saya sempat mengisi minyak di Kluang. Selepas mengisi minyak baru saya teringat yang tudung saya (yang telah digosok dan berhanger) tertinggal di rumah. (Sebenarnya banyak lagi barang yang tertinggal.... huhuhu... tu la.. kemas last minute.... Tudung yang saya pakai tu saje la yang saya ade... nak patah balik orang kata tak elok. Jadi saya teruskan perjalanan....

Sampai di rumah kawan di Felda Ulu Belitong, saya pun memakir kereta di rumahnya dan menaiki kereta teman saya itu untuk ke Hotel Myres Kota Tinggi. Bila saya beritahu kawan saya ni yang tudung saya tertinggal terus dia kata jangan risau.. Kota Tinggi memang kota membeli belah pakaian especially tudung... Bila dengar kata-kata member tu apalagi memasang angan2 la nak menyopping....

Selepas check-in di Hotel Myres kami pun solat Asar terlebih dahulu dan kemudian keluar semula untuk membeli belah melihat-lihat suasana bandar Kota Tinggi. Petang tu saja saya bukan setakat membeli tudung.... baju pun saya beli... 2 pasang tudung dan 2 pasang baju kurung... hihihi.. best! best!

Teringat nak balik semula ke hotel bila perut dah mula berkeroncong... sampai di hotel... makan malam. Lepas Maghrib terus turun semula ke tingkat 8 untuk menghadiri aktiviti pertama kursus. Dalam perjumpaan pertama ni barulah saya tau... rupa-rupanya ramai yang tidak hadir. Mungkin sebab permulaan cuti. Dalam perjumpaan pertama ni kami diminta memberi laporan perkembangan penulisan artikel tokoh guru yang sedang kami laksanakan. Rupanya selain saya ramai lagi tak siapkan lagi tugasan yang diberi tu. Tapi ada sorang cikgu tu dari Kota Tinggi rasanya siap jadi folio tu... Tebal betul biografi dia. Lepas mendengar taklimat tentang program hari esok kami pun bergambar. Tengok... PPD Kluang dua orang tu turun padang.....




Hari kedua (12.3.2011)


Esoknya kami check-out dari hotel pada jam 8.00 pagi dan meletakkan kenderaan masing2 di Muzium Kota Tinggi. Dari sini kami berkumpul untuk menaiki bas ke Kota Gemerlapan. Dah lama tak naik bas. Sekali sekala seronok jugak. Rasa macam ikut rombongan cik Kiah sekolah aje.


Sampai di Anjung Kota Gemerlapan kami diberi taklimat ringkas. Selepas membaca doa kami diberikan jaket keselamatan setiap orang.. (Ye la.. takkan nak share pulak kan...) Kalau nak tau Anjung Kota Gemerlapan ni diusahakan oleh pengusaha Melayu.


Bergambar bersama pemilik jeti Anjung Kota Gemerlapan.
Lain kali Insyaallah nak ke sini lagi. Boleh tengok kelip-kelip (kunang2) pada waktu malam.

Pasukan bomba yang mengiringi bot kami.


Tempat pertama yang kami tujui ialah Makam Laksamana Bentan atau dikenali juga sebagai Megat Seri Rama. Berasal dari Bentan, Sumatera dan bertugas sebagai Panglima Angkatan Laut Sultan Mahmud Shah II. Kenal tak Laksamana Bentan? Ala.. ni yang isterinya Dang Anum mati dibelah perut oleh Sultan Mahmud Shah II akibat seulas nangka. Tapi di sini kami tidak berhenti.. setakat tengok dari bot sahaja. Selepas tu kami menuju ke Kampung Makam. Sesuai dengan nama kampung ini, di merata-rata tempat di sekitar kampung ini di kelilingi dengan makam dan kubur. Banyak sangat! Dari Jeti Kampung Makam kami berjalan kaki menuju ke Kota Touhid.  Kota Touhid pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor sebanyak dua kali iaitu semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677) dan Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV (1699-1718). Dari Kota Touhid kami ke Makam Bendahara Tun Habab (Habib) dan akhir sekali ke Makam Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Bangunan yang berwarna kuning itulah makam Laksamana Bentan bersama isteri dan anaknya yang mati dibunuh.

Melihat panorama bandar Kota Tinggi dari Sungai Johor


Di Kota Touhid

Rasa tenang aje berada kat tempat ni... Makam Tun Habab

Nama sebenar baginda adalah Bendahara Tun Abdul Majid Tun Habab Padang Saujana Johor atau dikenali sebagai Tun Habab Abdul Majid. Tun Habab menjadi Bendahara kepada dua orang Sultan iaitu semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Shah I dan Sultan Mahmud Shah II.  Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II yang dibunuh oleh Laksamana Bentan, Tun Habab telah ditabalkan sebagai Sultan Johor ke II kerana Sultan Mahmud Shah II tidak berputera. Tun Habab menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah Ke-IV.

Kawasan ni dikatakan lokasi pembunuhan Sultan Mahmud

Makam Sultan Mahmud

Dalam kawasan makam Sultan Mahmud.

Kubur kucing bertanduk
Sultan Mahmud Shah II, ada memelihara seekor kucing yang dikatakan mempunyai sepasang tanduk kecil pada bahagian atas kepala. Ada sumber yang mengatakan kucing ini dinamakan baginda 'Si Comel'. Kucing ini tidak pernah turun ke tanah dan hanya berjalan meniti dari bumbung ke bumbung rumah serta gemar memakan sayur-sayuran. Kucing ini berkebolehan mengesan musuh-musuh yang bakal datang menyerang Kota Tinggi. (Macamana ek?) Kucing istimewa ini telah mati secara tiba-tiba seminggu sebelum baginda mangkat. Sultan Mahmud menitahkan agar kucing ini dikebumikan dan pada kuburnya diletakkan dua biji batu berbentuk bulat sebagai batu tanda.
Salah satu contoh rumah limas negeri Johor yang terdapat di Kampung Makam

Dari Kampung Makam kami meneruskan lagi perjalanan bot kami menuju ke Kota Seluyut. Sebaik tiba di Jeti Kota Seluyut kami terpaksa mendaki bukit yang agak tinggi sebelum sampai ke Makam Sultan Muzaffar Syah II, adindanya Raja Fatimah dan Sultan Abdul Jalil Shah I. Keistimewaan Kota Seluyut ni juga ialah tempat lahirnya Tun Sri Lanang.


Perjalanan dengan bot diteruskan lagi. Selepas ini kami berhenti di Kota Batu Sawar pulak. Kota Batu Sawar ni didirikan oleh Sultan Ali Jalla Abd. Jalil. Selepas serangan daripada angkatan perang Jambi pada tahun 1670 (semasa pemerintahan Abd. Jalil Shah III) baginda melarikan diri ke Pahang dan tempat ini tidak lagi dijadikan pusat pemerintahan. Ada rakan yang mengatakan kedudukan makam ini di taman istana. Kerana menurutnya pokok-pokok yang terdapat di tempat tersebut semuanya pokok-pokok terpilih. Bila saya lihat sendiri kawasan tersebut, walaupun agak semak samun namun memang terdapat banyak pokok-pokok hiasan yang menarik. Kawasan ini agak tidak terjaga kerana dikatakan kedudukan makam ini di tanah orang. Mungkin suatu hari nanti kerajaan Johor akan mewartakan kembali tanah tersebut. Tak tergamak melihat makam Sultan di kelilingi semak samun dan tidak terurus.





 Sama dengan nama bot yang saya naiki... BAHTERA BATU SAWAR

Dari Kota Batu Sawar kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Kota Panchor. Kota ini merupakan pusat pemerintahan terakhir kerajaan Johor yang terletak di persisir sungai Johor. Sultan yang bertanggungjawab membina kota ini ialah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.

Makam Sultan Abd. Jalil IV

Batu nisan ni pendek sebelah sebab yang lagi satu tu patah setelah digesel oleh gajah yang kegatalan.
Apalah gajah tu kan.. tak de tempat lain agaknya nak keruk badan dia...

Makam Dara Puteh

Di papan tanda Makam Dara Puteh
Dalam gambar ni En. Hamzah (PPD Kluang), Tumiah Zakaria (GC Sejarah Daerah Kluang) 
dan En. Sufian (PPD Daerah Kluang). Rasanya yang asyik bergambar delegasi Kluang je ni...

Selepas Kota Panchor kami dibawa pula ke Kota Johor Lama. Sebelum sampai di Kota Johor Lama bot kami melencong ke arah jambatan baru yang menghubungkan Pasir Gudang dengan..... Teluk Sengat (kot...) tak ingatla...
Bot yang satu lagi terus menuju ke Kota Johor Lama. Kami dibawa melalui bawah jambatan baru tersebut. Best sangat! Dalam perjalanan ke sini juga ombak agak kuat menyebabkan kami yang berada di dalam bot kebasahan. Ibarat "direnjis-renjis dipilis gitu... " hehehe... Tengoklah keadaan langit yang mendung. Walaupun sinar matahari tidak terik sepanjang perjalanan hari ini, namun kesan sun-burn tetap ketara di muka saya...



Setelah lima jam menelusuri Sungai Johor akhirnya kami tiba di Bob Homestay yang terletak di Kota Johor Lama. Lihatlah panorama homestay yang kelihatan sayup-sayup dari arah laut. Sungguh mendamaikan... Sampai je  di homestay kami terus makan tengah hari. Lapar sangat rasanya... Kumpulan yang satu lagi dah berehat-rehat di bilik masing. Disebabkan kami lambat kumpulan kami ditempatkan di dorm tingkat atas. Bilik airnya di bawah. Sampai kat bilik terus mandi dan solat jamak. Ada masa 1 jam sahaja sebelum kami diarahkan berkumpul semula. Belum sempat berehat siren dah dibunyikan.


Tak sempat baring pun lagi. Dah kena bergerak ke Muzium Johor Lama. Nasib baik disediakan van. Kalau tak... tak larat dah rasanya nak berjalan... Dari jauh kelihatan Muzium Johor Lama yang menggunakan senibina tradisional dan sangat cantik.  Petugas-petugas muzium juga sangat ramah. Di sini kami disajikan dengan tayangan sejarah melalui video. Semasa tayangan ni saya mengambil tempat yang paling strategik untuk menyandarkan badan. Hehehe... sambil menonton banyak kali jugak terlelap. Apa taknya, badan dah selesa lepas mandi... kenyang pulak tu... Tengah seronok tengok part pertumpahan darah antara Sultan Mahmud dengan Laksamana Bentan tiba-tiba TV meletup...  eii... potong stim betul la... Kata pekerja muzium tu agaknya sebab dah pukul lima kot TV ni nak rehat... hehehhe... ye lah tu.. TV pun pandai kan nak rehat...

Kemudian kami dibawa melawat ke Kota Batu Johor Lama. Kota ini dibina oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II pada tahun 1540. Kedudukannya terletak di atas Tanjung Batu, Kampung Johor Lama menjadikannya sangat strategik sebagai benteng pertahanan. Kota ini pernah jadi pusat perdagangan antarabangsa.

Muzium Kota Johor Lama



Tapak carigali di atas merupakan destinasi terakhir kami pada hari ini. Terletak bersebelahan rumah orang. Pada mulanya ada orang mengatakan kawasan ini terdapat harta karun tetapi rupa-rupanya setelah digali terdapat artifak seperti batu nesan di dalamnya. Tidak diketahui kenapa batu nisan ini ditimbus namun dari kajian lapisan tanah (nampak tak belang yang warna hitam kat tanah tu?) dikatakan mungkin sebelum ditimbus kawasan ini dibakar terlebih dahulu. Puncanya... wallahua'lam...

Selesai acara siang, kami dipenatkan lagi dengan aktiviti pada sebelah malam. Pada sebelah malamnya ni kami didendangkan dengan seminar Pemupukan Patriotism melalui Sejarah Kerajaan Johor Lama oleh Hj. Kamdi (Idola saya kat Yayasan ni...). Yang bestnya dalam seminar ni saya dapat dua hadiah. Agaknya penganjur pun tau yang masing2 tak ada mood sebab kepenatan jadi dia sediakanlah hadiah. Hadiah mula-mula saya dapat sebuah buku yang bertajuk 'Kata-Kata Hikmat Dato' Onn Jaafar'  sebab dapat jawab soalan tentang nama perjanjian yang ditandatangani yang menyebabkan perpecahan wilayah Johor. Lepas tu saya dapat lagi satu hadiah sebuah buku "sejarah 50 Tahun Kemerdekaan' yang ni buku mahal. Ada dua naskah aje dia sediakan. Syaratnya kena cipta syair dan bersyair. Disebabkan saya nak sangat buku tu jadi saya pun bersyairlah.... Bolehlah... tak la teruk sangat.... hihihi.... habis tajuk pertama, masuk pula tajuk seminar kedua iaitu Mengenali Arkeologi Sungai Johor. Masa ni ngantuk memang ngantuk tapi tajuknya dan cara penyampaian penceramah amat menarik. Tak sampai hati nak mengantuk....

Pada malam ni juga saya berpindah tempat tidur ke Felda Air Tawar 5 atas pelawaan seorang teman iaitu kak Norhuda. Terharu sangat atas layanan beliau dan keluarganya. Homestay tempat kami menginap tu kurang kondusif sebenarnya... tandasnya ... (malas la nak cerita..) paham2 je la... 

Hari Ketiga.(13.3.2011)

Muka dah ketat dah. Sunburn pulak tu... tak sabar nak balik... penat... Lepas acara penutupan kami menaiki bas untuk ke Muzium Kota Tinggi tempat kereta2 kami diletakkan. Sebelum balik sempatlah menjengah masuk ke Muzium... Tapi masuk sekejap je... Lepas solat jamak di masjid bersebelahan muzium saya dan rakan saya Tumiah berpoya-poya di bazar Kota Tinggi. Tumiah beli tudung. Tapi saya kali ni beli baju kurung untuk dihadiahkan pada mak. Lepas beli sedikit buah tangan kami pun bergerak balik semula ke Kluang....



Opppssss lupa nak bagi tau... setelah kami disajikan dengan aktiviti yang sangat menarik ni... seperti biasalah (ada udang di sebalik batu kan...) hehehe... tak adelah... kami diminta untuk menghasilkan penulisan sejarah daerah masing2 secara berkumpulan. Wawawawawaa..... tak dapat nak elak dah..... PPD dua orang pulak tu sebagai saksi.. Takpe... kerana terhutang budi dengan Yayasan, kami sanggup pikul tanggungjawab ini seikhlas hati kami. Insyaallah.....


1 comment:

Syed Azharul Asriq said...

Salam. Tumpang tanya, dari jalanraya Kota Tinggi-Pengerang hendak menuju ke Kota Seluyut, adakah kawasan itu sangat terpencil?

Bagaimana ya dengan kondisi jalan meredah estet kelapa sawit? Adakah permukaan jalannya teruk? Saya ingin sangat menziarahi ke sini bersama keluarga saya, cuma terfikir perlu meredah ladang sawit sejauh 8km!

Syed Azharul Asriq,
Penulis buku "SIPUT YANG MENGUBAH SEJARAH"