Sanggar Persahabatan

JOM SHOPPING DI KEDAI SAYA!!

Kongsi Cerita

get this widget here

Tuesday, March 22, 2011

BIOGRAFI TOKOH GURU NEGERI JOHOR TAHUN 2000

Ha... akhirnya siap projek biografi saya. Ikhlas dari hati memang banyak kekurangan. Tulisan biografi pertama saya.... Yang saya paparkan dalam blog ni tak lah sama 100% sebagaimana yang saya hantar.
Ada buat beberapa perubahan terutama bahagian susun atur gambar dan lampiran yang saya tidak sertakan di sini. Komen daripada penulis biografi lain amat saya alu-alukan...


BIOGRAFI TOKOH GURU DAERAH KLUANG
TUAN HAJI SURATMAN BIN JAIS
OLEH : AIDAH BINTI MISDAN

 Tn.Hj. Suratman ketika muda

 “Cikgu Suratman Jais mengajar saya dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Guru dahulu. Seluar dan baju lengan panjangnya berwarna putih. Keras berkanji. Dia memandu kereta putih Fiat 600. Pintunya buka dari hadapan. Hebat pada pandangan saya yang berumur 14 tahun pada tahun 1961. Tingkah lakunya sederhana. Dia tidak pernah marah. Marahnya memuncak apabila telinganya memerah dan dia mendiamkan diri menahan emosi. Rakan sekelas akan faham keadaan itu dan masing-masing berusaha mengembalikan keadaan supaya tenang.”


Menjejaki Tuan Haji Suratman bin Jais yang merupakan tokoh guru negeri Johor tahun 2000 tidaklah sesukar mana. Walaupun Tuan Haji Suratman ini kenalan baik ayah saya namun saya tidak mengambil ringan urusan wawancara ini.  Saya turut mendapatkan seberapa banyak maklumat daripada kemudahan teknologi maklumat yang ada kini.  Setelah serba sedikit maklumat diperoleh, barulah saya mengatur temu janji dengan beliau. Alhamdulillah, temu janji yang saya aturkan diterima dengan penuh mesra dan hati terbuka. Ketibaan saya pada petang itu disambut mesra oleh isteri beliau Puan Jamilah binti Jamsari. Sejenak menunggu di ruang tamu, Tuan Haji Suratman muncul sambil dipapah oleh isteri dan anaknya. Pada usia 74 tahun kini keadaan beliau agak uzur sementelah beliau dikatakan menghidap penyakit parkinson sejak dua tahun lalu. Walaupun agak uzur, namun senyuman yang tidak lekang dari bibirnya membibitkan rasa selesa dan mesra untuk saya meneruskan wawancara ini. 

Tuan Haji Suratman bin Jais dilahirkan pada 28 November 1937 di Parit Sulong, Batu Pahat Johor. Ketika ditanya tentang cita-cita tokoh ini sejak kecil, menjadi pendidik merupakan satu-satunya cita-cita yang menjadi impian beliau. Dengan menjadikan Jamil Sulong sebagai idola menyebabkan pelbagai pertanyaan bermain di benak. Siapa yang tidak kenal Jamil Sulong? Pengarah filem Melayu yang terkenal yang menjadi sebutan sehingga kini.   Kenapa Jamil Sulong menjadi idola beliau? Menurut beliau, pengarah filem terkenal tersebut merupakan salah seorang gurunya yang mengajar bahasa Jepun ketika beliau kecil. Mungkin ramai yang tidak tahu, pengarah Jamil Sulong pernah menjadi guru dan penulis ketika zaman mudanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini, dua lelaki dan seorang perempuan menjalani kehidupan sederhana sejak kecil. Ayahanda beliau Jais bin Wongso bekerja sebagai pekebun dan penjaja makanan. Manakala bonda beliau Sumirah binti Haji Mansor meninggal dunia semasa beliau masih kecil lagi. Semenjak kematian ibu beliau, ayahnya membawa diri ke Singapura dan membina kehidupan baru di sana. Beliau dan adik-adiknya dipelihara dan dibesarkan pula oleh makcik dan neneknya. 

Kehidupan beliau sama seperti kanak-kanak lain yang sezaman dengan beliau. Antara teman rapatnya ketika itu ialah ayah saya sendiri Haji Misdan bin Jamil yang usianya muda setahun daripada beliau. Beliau juga belajar mengaji setiap hari pada sebelah petang bersama pakciknya yang agak tegas orangnya ketika mengajar.

Lahir pada zaman sebelum merdeka memberi peluang kepada beliau menyaksikan sendiri kemaraan tentera-tentera Jepun dan serangan kapal terbang Kamikaze di sekitar Pekan Parit Sulong yang menjadi medan pertempuran tentera Jepun dengan tentera pihak bersekutu. Malah beliau turut merasai keperitan hidup pada ketika itu apabila beliau dan penduduk setempat terpaksa mencari tempat persembunyian di kawasan pedalaman bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga masing-masing.

PENDIDIKAN DAN PERKHIDMATAN

Menyentuh tentang zaman persekolahannya pula, beliau sempat bersekolah di Sekolah Rendah Jepun semasa zaman Jepun memerintah. Kemudian pada 15 Oktober 1945 beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Melayu Parit Sulong sehingga tamat darjah enam di sekolah tersebut pada tahun 1952. Tidak dapat dinafikan bakat kepemimpinannya sudah terserlah sejak kecil lagi iaitu apabila beliau sering terlibat dengan pertandingan syarahan dan sering menjadi pemimpin pelajar. Menurutnya pada ketika itu guru yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya pada ialah Cikgu Abas.

Sebaik tamat darjah enam beliau mula bertugas sebagai  Guru Rakyat di Sekolah Umum Seri Permatang Rengas, Seri Medan, Batu Pahat selama dua tahun (1952-1953). Menurut beliau, beliau merupakan antara individu yang mula-mula meneroka sekolah tersebut bersama dengan Cikgu Wahab bin Abu. Sekolah tersebut menjalankan Kelas Mengenal Huruf (Kelas Dewasa). Masih segar dalam ingatannya gaji yang diperolehnya pada ketika itu hanya sebanyak RM41.00 sahaja sebulan. Seterusnya, pada Mei 1954 beliau terpilih untuk mengikuti latihan perguruan sekolah rendah di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim Perak selama dua tahun.

Setelah tamat latihan perguruan di Tanjung Malim pada tahun 1956, beliau ditugaskan ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Bandar Kluang dan berkhidmat di sekolah tersebut selama setahun. Pada Januari 1957 pula beliau dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Seri Lalang Kluang. Beliau merupakan guru lulusan maktab yang pertama dihantar ke sekolah tersebut untuk mengajar darjah enam. Pada ketika itu hanya terdapat 11 orang murid lelaki dan seorang murid perempuan. Malah sebahagian besar murid lelakinya sudah bermisai dan berjanggut.

Pada tahun 1958, beliau menghadiri kursus selama setahun di Maktab Perguruan Bahasa, Bukit Senyum, Johor Bahru. Menurut beliau pada ketika itu hanya empat orang sahaja dari seluruh Johor yang terpilih memasuki maktab tersebut. Setelah tamat kursus di Maktab Perguruan Bahasa beliau diarahkan bertugas di Oversea Chinese High School, Batu Pahat dan berkhidmat di sekolah itu selama tiga tahun iaitu dari tahun 1959 hingga 1961. Pada tahun 1962 beliau berkhidmat pula di Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar, Batu Pahat sehingga tahun 1969. Semasa berkhidmat di sekolah inilah beliau telah mengambil kesempatan untuk mempertingkat taraf pendidikan beliau dengan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian pada tahun 1962 dan seterusnya mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga sebagai calon persendirian pada tahun 1968. Usaha dan kegigihannya itu ternyata berbaloi apabila beliau berjaya melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya pada 13 Mei 1969 hingga 1972 dalam bidang Pengajian Melayu. Sebaik menerima ijazah pada tahun 1972, beliau ditugaskan pula di Sekolah Menengah Datuk Haji Hassan Yunos, Renggam sehingga tahun 1982.

Setelah 30 tahun berkhidmat sebagai pendidik, Tuan Haji Suratman telah ditukarkan pula ke Pejabat Pendidikan Daerah Kluang (PPDK). Di PPDK beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Menengah) sehinggalah beliau bersara pada tahun 1992.

SUMBANGAN DALAM PENDIDIKAN

Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai pendidik beliau turut berperanan sebagai Pemeriksa Kertas Bahasa Kebangsaan (Bahasa Malaysia) Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sejak tahun 1964 sehinggalah beliau dilantik menjadi Ketua Pasukan pada tahun 1974 hingga 1992. Selain itu, beliau juga turut dilantik sebagai Ketua Pemeriksa Kawasan Ujian Lisan Bahasa Malaysia Peperiksaan Pelajaran Malaysia SPM/SPVM pada tahun 1984 hingga 1986. Pada tahun 1984 hingga 1986 juga beliau dilantik sebagai Ketua Pasukan Pemeriksa Kertas Kesusasteraan Melayu Sijil Pelajaran Malaysia dan pada tahun 1986 hingga 1991 sebagai Penolong Ketua Pemeriksa Bersama Kesusasteraan Melayu SPM.

Selain itu, antara tugas-tugas besar lain yang pernah disandangnya sepanjang perkhidmatan beliau ialah Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kluang, Naib Pengerusi Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) Daerah Kluang, Naib Pengerusi Hari Guru Daerah Kluang, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kurikulum Daerah Kluang, Pengerusi Jawatankuasa Teknik Permainan MSSD Kluang, Pensyarah Sambilan di Pusat Latihan Daerah (RTC) Batu Pahat (1966-1967), Kakitangan Penting Perpustakaan Negeri Johor (1977-1978), Kakitangan Penting Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Atas Negeri Johor (1980-1981) dan Pensyarah Undangan Intan Kluang (1983 – 1985).

Antara sumbangan beliau yang lain adalah pada tahun 1957 beliau bersama-sama rakan guru telah secara sukarela mengadakan Pameran Buku-Buku Bahasa Melayu terbitan sebelum Perang Dunia hingga 1957 di Kelab Guru-Guru Melayu Batu Pahat. Pada tahun tersebut juga beliau telah memperkenalkan persembahan deklamasi sajak di daerah Batu Pahat. Seterusnya, pada tahun 1964 atas bakat seni yang dimiliki beliau turut terlibat secara aktif dalam mereka bentuk bangunan Perpustakaan di Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar, Batu Pahat.

PENGLIBATAN DALAM AKTIVITI KEMASYARAKATAN

Kesibukan beliau sebagai guru dan PPD tidak menghalang beliau daripada terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Antara aktiviti kemasyarakatan yang disertai oleh beliau ialah :

§         Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Bunga Raya, Kluang.
§         Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Bahagian Kluang
§         Tahun 60-an Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Latihan Maktab, Malaysia.
§         Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Johor.
§         Setiausaha Rukun Tetangga Sektor Bandar Kluang
§         Pengerusi Tabika Perpaduan Bandar Kluang.
§         Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Kluang.
§         Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Islam, Taman Kluang.
§         Ahli Jawatankuasa Surau An Nur, Taman Kluang.

KARYA DAN KEGIATAN BAHASA

Tuan Haji Suratman merupakan antara golongan guru yang aktif menghasilkan penulisan . Menurut ayah saya, beliau mempunyai nama samaran tersendiri dalam bidang penulisan iaitu  “Rosman Jaya”.

Sajak awal beliau yang berjudul ‘BELIA’ telah diterbitkan di Majalah Belia pada 13 Mei 1955. Cerpen sulung beliau juga yang berjudul ‘Cikgu Sekolah Umum’ turut tersiar di Utusan Zaman pada tahun 1957.

Pada tahun 1962 -1963 beliau telah dilantik menjadi Penolong Setiausaha Bulan Bahasa Kebangsaan Daerah Batu Pahat dan pada tahun 1964 beliau telah menulis beberapa kertas kerja untuk Diskusi Sastera di Batu Pahat.

Selain itu, beliau juga aktif menulis buku teks dan buku kerja untuk panduan guru-guru dan pelajar antara karya-karya beliau yang diterbitkan pada ketika itu ialah :

§         Bahasa Malaysia Situasi (Peralihan)                                 Longman 1977
§         Bahasa Malaysia Situasi Tingkatan Empat                       Longman 1978
§         Bahasa Malaysia Situasi Tingkatan Lima                         Longman 1978
§         Buku Kerja Bahasa Malaysia Tingkatan Empat                Longman 1979
§         Buku Kerja Bahasa Malaysia Tingkatan Lima                   Longman 1979
§         Buku Kerja Bahasa Malaysia (Peralihan)                          Longman 1981
§         Bimbingan Bahasa Malaysia (II) SPM                                Fajar Bakti 1984

ANUGERAH DAN PINGAT KEBESARAN

Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam pelbagai bidang, beliau telah mendapat pelbagai anugerah seperti :

  • 1987   Pingat Ibrahim Sultan (II)
  • 1987   Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia
  • 1991   Pingat Lama dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP)
  • 1991   Pingat Ahli Mangku Negara (AMN)
  • 1999   Ibu Bapa Contoh Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood (I) Kluang
 
AKTIVITI SELEPAS BERSARA



Sebaik bersara pada 28 November 1992, Tuan Haji Suratman dan isterinya terus menunaikan ibadah haji di Mekah. Selain itu, beliau juga banyak menghabiskan masa dengan melakukan kerja-kerja sosial bersama masyarakat. Antara aktiviti yang dilakukan oleh beliau ialah menjadi Ahli Lembaga Pelawat Penjara Simpang Renggam pada tahun 1995 hingga 1997 dan menjadi Naib Pengerusi Surau An-Nur, Taman Kluang, Kluang. Malah beliau turut ringan tulang membantu menguruskan perniagaan isteri tercinta. Anak-anak beliau yang seramai empat orang iaitu dua lelaki dan dua perempuan sudahpun mempunyai kerjaya dan berjaya dalam kehidupan masing-masing. Anaknya yang sulung Suhaimi Suratman (45 tahun), Tuti Aini Suratman (43 tahun), Irman Hilmi Suratman (36 tahun) dan Suhailawati Suratman (35 tahun)




5 comments:

Anonymous said...

detail...banyak kepada penerangan je, cam baca buku sejarah... klo buat ala2 novel atau cerita akan seronok sikit... hanay comment semata2...

chan

...aida... said...

chan, memang seronok kalau bole buat macam novel. Tapi yang tu kita kena kenal betul watak dan berkali2 jumpa untuk menghayati kehidupan dia. Ni jumpa sekali je... jadi tulis yang yang paling asas sajalah. Lagipun dia nak lebih kurang 10 muka surat. Masa hantar ni termasuk gambar dah 12 m/s. Lepas ni bole try buat mcm novel, tapi autubiografi la... ttg diri sendiri... hehehe....

Terima kasih Chan bagi komen :)

Suhaimie said...

As salam... Saya Suhaimi Suratman, anak kepada Suratman Jais ingin mengucapkan berbanyak terima kasih ke tulisan ini.
Semoga Allah membalas segala kebaikan anda.

Sam said...

Assalamualaikum,
Tuan Haji Suratman sudah kembali rahmatullah pagi tadi (13-Jul-12). Salam takziah kepada isteri and anak-anak Arwah. Al-Fatihah.

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Info yang cukup bermakna dan berharga buat kami. Amat dihargai. Moga ALLAH membalas jasa Puan.

Untuk makluman beliau (Cikgu Suratman bin Jais) telah meninggalkan kita semua pada pagi Jumaat 13 Jul. 2012.

Semoga roh beliau ditempatkan di dalam syurga bersama-sama orang yang beriman & beramal soleh.

Al-Fatihah...

~Helmi