Sanggar Persahabatan

JOM SHOPPING DI KEDAI SAYA!!

Kongsi Cerita

get this widget here

Thursday, October 31, 2013

Our Mujahid Ahmed Al-Amin

Masih dalam mood bercerita tentang ahli keluarga baru keluarga kami.

Pertama kali melahirkan bayi pramatang. (29 minggu)


Lahir pada 3 Julai 2013 dengan berat 1.44kg.

Pertama kali menjalani pembedahan Caeserean.

43 hari Amin di wad. Hari yang ke-28 baru saya dapat mendakap tubuhnya yang mungil.

Betapa sebelum itu saya menangis setiap kali datang melawat Amin.

Anak yang sudah lama dilahirkan tetapi ketika itu  tidak dapat dirangkul apatah lagi  dicium.



Hanya dua tangan ini yang mampu mengusap dan membelai dirinya yang masih lemah di dalam inkubator.

Ku tabahkan hati ini dengan sentiasa memberikan kata-kata perangsang untuk Amin. Berdoa saban waktu. Menitip bacaan Yaasin di dalam hati setiap hari terutama semasa suamiku bangun solat malam mendoakan dirinya.

Tiga kali kami terpaksa bergegas ke hospital setelah dihubungi jururawat kerana Amin kekurangan darah. Amin memerlukan darah saya. Pada masa ni hidup saya memang tidak tenteram kerana bimbangkan dirinya di hospital. Apatah lagi doktor pun tidak dapat memberi apa-apa jaminan yang meyakinkan.

Ujian datang lagi. Seminggu Amin dikuarantin kerana disyaki terkena jangkitan kuman.

Pada masa tu kami hanya boleh menyentuhnya dengan menggunakan glove. Kami terpaksa berpakaian lengkap dengan penutup muka dan baju plastik khas. Kawalannya sangat ketat. Masa ni cemburunya melihat ibu bapa lain bersama bayi masing-masing. Namun Alhamdulillah, akhirnya ujian menunjukkan Amin bebas jangkitan.

Disebabkan suami saya bekerja di tempat yang jauh, kami hanya berpeluang melawat Amin pada awal subuh dan malam. Kecuali hari Sabtu dan Ahad. Oleh itu, saya meminta izin suami untuk memandu  sendiri ke hospital semata-mata untuk memberikan kata-kata semangat untuk Amin. Supaya Amin kuat dan terus bertahan.

Mulanya suami saya tak benarkan sebab luka pembedahan saya masih belum sembuh. Namun akhirnya dia terpaksa mengalah dan membenarkan saya memandu memandangkan banyak keperluan yang memerlukan saya berurusan dengan Amin di hospital. Memang sakit... Tapi demi Amin, saya redah jugak.

Hari pertama saya memandu ke hospital saya telah ditahan oleh JPJ. Kebetulan lesen saya sudah sebulan mati rupa-rupanya... Saya tak perasan... saya baru balik ke Malaysia dan saya sangat sibuk menguruskan kerja dan bermacam-macam hal. Saya di saman... Saya tak ada mood nak merayu masa tu. Sebab mood saya sudah bercampur baur dengan kesihatan diri saya dan Amin serta anak yang ditinggalkan bersama kakak di rumah. Tak pelah, memang salah saya.

Suatu malam selepas usai suami saya solat tarawikh seperti biasa kami ke hospital. Tiba-tiba seorang nurse datang dan meminta saya menyusukan Amin, menggigil tubuh saya. Rasa seperti mimpi. Memang itu saat yang saya  dambakan selama ini. Dan saat itu berlaku tiba-tiba. Seronoknya Ya Allah... Saya berseorangan saat itu. Suami saya di bawah melayan kakak Amin,  Aisyah Humaira. Aisyah tak boleh masuk ke wad NICU. Selama itu jugalah dia tidak tahu yang dia sudah beradik.

Amin memang mujahid yang hebat. Amin terus pandai menyusu. Saya rangkul tubuhnya erat-erat. Usai sahaja Amin menyusu saya cium dirinya puas-puas... Subhanallah... saat itu memang sangat indah. Saya keluar dari wad NICU dengan senyuman yang tidak dapat dilekangkan dari bibir. Berita gembira itu kusampaikan kepada suami. Masa ni saya mengangis juga. Tapi lebih kepada tangisan terharu dan gembira.


Lepas ni saya akan ceritakan pengalaman mengejar waktu menyusukan Amin di hospital dan 'kembar" Amin pula ye. Tak dapat sambung sekarang sebab baby Amin dah bangun nak menyusu. Insyaallah jumpa lagi nanti ye. Assalamualaikum.


1 comment:

sitiezahim said...

salam kenal dr germany.. sayu saya baca entri puan. terkenang kenangan melahirkan arwah baby saya pada usia 23 minggu.. selepas beberapa jam lahir dia pergi tinggalkan kami selama2nya.. apapon semoga Amin membesar jadi insan soleh insyaAllah :)