Felt merupakan fabrik yang dihasilkan daripada bulu biri-biri (wool). Oleh sebab itu, fabrik jenis ini boleh menarik kehadiran serangga perosak. Sekiranya kain felt yang kita simpan sebagai stok itu diserang serangga perosak ini, rendamkan sahaja di dalam air suam lebih kurang 10 minit bagi membunuh larva yang terdapat di celah-celah fabrik tersebut.
Setelah felt direndam, perah felt dengan lembut untuk mengelakkan felt mengalami regangan yang boleh menyebabkan bentuk dan kualiti felt berubah. Antara tips memerah felt adalah dengan menggunakan tangkupan tuala di atas dan di bawah felt seterusnya digulung perlahan-lahan untuk mengeringkan airnya.
Sekiranya felt terkena kotoran, basuh dengan menggunakan air suam dan gunakanlah pencuci atau detergen seminima mungkin. Jangan sekali-kali menggunakan air panas kerana boleh menyebabkan kain felt mengecut.
Felt juga haruslah dikendalikan dengan teliti kerana fabrik jenis ini mudah regang dan berbulu. Oleh itu, sekiranya kita hendak menghasilkan produk felt untuk kegunaan sehari-hari gunakanlah felt yang lebih tebal. Felt yang telah regang sukar untuk dipulihkan. Tetapi sekiranya produk felt itu fabriknya mulai berbulu dan menggumpal, rapikan sahaja dengan menggunakan gunting yang tajam.
Felt sebenarnya lebih mesra dan mudah dikendalikan dengan jahitan tangan berbanding mesin. Apabila kita hendak menjahit felt, pastikan jarum yang digunakan tidak terlalu besar dan tidak terlalu halus. Apabila kita menggunakan jarum yang terlalu besar, lubang-lubang jarum akan jelas kelihatan pada jahitan kita dan ini akan menjejaskan rupa jahitan. Sebaliknya, apabila jarum yang digunakan terlalu halus, jarum tersebut berkemungkinan besar akan patah. Oleh itu gunakanlah jarum yang sederhana besar.
Antara gam dengan jahitan mana yang lebih baik? Kedua-duanya boleh digunakan. Tetapi sekiranya produk yang digunakan itu digunakan dengan kerap maka lebih baiklah dijahit. Kerana dengan penggunaan gam, lama-kelamaan gam tersebut akan mengeras, rapuh dan fabrik tersebut akan tertanggal. Gam lebih sesuai digunakan untuk menghasilkan produk felt yang digunakan sebagai hiasan semata-mata.
Akhir sekali, jauhkan felt daripada haba yang tinggi kerana felt boleh mencair dan hilang bentuk asalnya.
4 comments:
Info yang bagus..!
Terima kasih Yati. Gembira berkongsi maklumat dengan rakan-rakan.
congrats for the good info!
Thank's lia...
Post a Comment